Jumaat, 6 Disember 2013

New Message on DKTM (Daa jadi old message) - Terserempak lembaga di bawah rumah.

New Message on DKTM

Terserempak lembaga di bawah rumah.

From: 
SoUr_Lem0n_
Terserempak lembaga di bawah rumah
Petikan dari majalah mingguan wanita. 1103.'o4.


“Kamu dengar pengumuman lepas sembahyang Subuh pagi tadi, Som? Mak Limah meninggallah,” beritahu Kiah pada jirannya Som.
"Dengar. Kesian ye, orang tua tu mati sorang-sorang aje kat rumah,” balas Som yang sedang sibuk menyidai baju. Dia mahu menyiapkan kerja rumahnya segera kerana mahu pergi menziarahi arwah Mak Limah.

Siapalah yang tidak kenal dengan arwah Mak Limah. Wanita yang merupakan satu-satunya bidan kampung yang ada di daerah itu tinggal bersendirian sejak lebih 10 tahun lalu. Bukan dia tidak ada anak. Enam orang anaknya, tiga lelaki dan tiga perempuan tinggal di Pekan Limau yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumah ibu mereka. Bukan tidak pernah anak-anak mengajak Mak Limah tinggal bersama mereka. Namun wanita tua berusia hampir 70 tahun itu enggan. Dia lebih senang tinggal di rumah tuanya sendirian.

“Hish, letih aku tinggal kat rumah budak-budak tu. Bukan letih sebab banyak buat kerja. Tapi letih tak ada kerja. Baik aku duduk kat rumah aku ni. Sekurang-kurangnya keluar juga peluh,” begitu jawabnya bila ada orang bertanya mengapa dia tidak mahu tinggal bersama anak-anaknya yang tinggal tidak berapa jauh dari kampung mereka.

Mak Limah memang disenangi oleh penduduk kampung kerana dia peramah dan ringan tulang. Dia juga tidak suka bercerita yang bukan-bukan tentang orang lain. Hanya satu tentang Mak Limah yang kurang disenangi oleh orang kampung tentang bidan tua itu. Kononnya dia sering membantu orang luar yang datang mahu menggugurkan kandungan. Aktiviti tidak sihat itu kononnya dijalankan di rumahnya.

Namun tiada siapa dapat mengesahkan cerita tersebut. Yang mereka tahu sering terlihat wajah-wajah asing datang mencari rumah bidan tua itu. Dan kononnya inilah menjadi punca mengapa anak-anak Mak Limah tak seorang pun yang ingin tinggal bersamanya.

Tengah hari itu, setelah masuk waktu Zuhur, mayat Mak Limah yang meninggal akibat diserang sakit jantung itu selamat dikebumikan oleh anak-anaknya dengan bantuan penduduk kampung.

Malam itu semua anak menantu dan cucu Mak Limah tidur di rumah tua itu. Maklum sahaja banyak perkara yang perlu diuruskan. Lagi pun ibu mereka baru sahaja meninggal dunia. Takkanlah mereka mahu meninggalkan rumah itu kosong begitu sahaja. Menjelang tengah malam, Leman, anak sulung arwah Mak Limah terbangun apabila merasa perutnya memulas.

Puas cuba ditahan, tetapi perut itu nampaknya tak dapat dibawa berkompromi. Isi di dalamnya bagaikan mendesak-desak mahu keluar. Mulanya Leman berfikir mahu mengejutkan iparnya yang tidur di sebelahnya. Namun apabila terdengar dengkuran iparnya yang keletihan, Leman berasa tidak sampai hati. Dia faham mereka semua keletihan menguruskan pengebumian ibunya siang tadi. Lalu perlahan-lahan Leman bangkit. Tiba-tiba dia teringat tentang tandas dalam bilik air ibunya yang rosak sejak seminggu lalu yang tidak sempat dibetulkan. “Ah, terpaksa ke tandas belakang rumahlah nampaknya,” bisik hati Leman.

Berhati-hati Leman bangun. Lampu menghala ke bahagian dapur dihidupkan. Dengan berbekal lampu suluh Leman membuka pintu dan berjalan keluar menghala ke tandas belakang rumah. Namun baru beberapa tapak berjalan, langkah Leman terhenti. Telinganya menangkap bunyi asing yang datang entah dari mana. Puas Leman tercegat memasang telinga untuk mengetahui bunyi apakah yang didengarnya.
 
"Hish, siapa pula yang minum air kuat sangat ni," tanya Leman pada dirinya sendiri apabila dia pasti bahawa bunyi yang didengar itu adalah bunyi orang menghirup air dengan kuatnya. Keinginannya untuk menjenguk semula ke dapur melihat siapa yang sedang minum. Tetapi sakit di perutnya yang tidak boleh ditahan-tahan lagi itu memaksa dia membatalkan niatnya.
 
Bagaimana pun langkah Leman mati sekali lagi apabila dia mendengar bunyi orang menghirup air dengan begitu kuat. Bunyi itu begitu dekat dan seolah-olah datang dari bawah rumah, bukannya dalam rumah. Mata Leman liar mencari dari arah mana datangnya bunyi itu, sambil tangannya menyuluh ke sana ke mari.
 
Terkaku Leman di tempatnya apabila terlihat satu lembaga berambut panjang sedang menjilat-jilat air yang bertakung di bawah rumah dengan lidahnya yang panjang. Menggeletar badan Leman apabila lembaga itu tiba-tiba berpaling memandang ke arahnya. Wajah lembaga itu kelihatan begitu hodoh dan menakutkan dengan matanya yang besar dan merah serta gigi taringnya yang panjang. Leman menjerit sekuat hati. Selepas itu dia tidak ingat apa².
 
Apabila sedar Leman dapati dirinya sudah berada di atas rumah di kelilingi oleh adik beradik dan saudara maranya yang lain. Sambil menggigil ketakutan, Leman bercerita tentang apa yang dilihatnya tadi.
 
"Agaknya ada air mandi mayat yang bertakung kat bawah rumah tak? Cuba pergi tengok," tanya adik ibunya yang tidur di situ malam itu.
 
Setelah diperiksa ternyata memang ada air bertakung di tempat mandi mayat. Dengan segera beberapa anak buah Leman mengambusnya. Apakah benar kata orang tua, air mandian mayat tidak elok dibiarkan bertakung kerana akan datang makhluk halus lain menghirupnya? Leman tidak pasti tentang itu. Yang dia tahu dia telah mengalami peristiwa yang menakutkan yang tidak mungkin dilupakan hingga bila².
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan